Diriwayatkan dari Ibnu Abdil Barr di dalam Jami' Bayan al-Ilmi wa Fadlih sesungguhnya ulama' berkata;
"Belajarlah untuk berkata saya tidak tahu, sesungguhnya jika engkau berkata sedemikian, orang pasti mengajar engkau sehingga engkau tahu. Sebaliknya jika engkau sentiasa mengaku dengan berkata saya tahu, nescaya mereka akan bertanya sehingga engkau tidak tahu"

Friday 8 June 2012

Wajib Pelajari Ilmu Tasawuf

Assalamualaikum, 
Alhamdulillah....Segala puji bagi Allah SWT, aku masih dikurniakan nikmat-Nya....


 
MEMBACA artikel tulisan cucu kepada mujadid dakwah abad ini, As-Syahid Imam Hassan al-Banna iaitu Dr. Tariq Ramadan membangkit emosi dan perenungan yang dalam sekali gus merembeskan keinsafan spiritual, intelektual dan emosional.
Dalam kesedaran itu, artikel ini ditulis. Agar menjadi pencetus kepada dimensi faham yang baru kepada mutiara Islam yang semakin terpinggir itu malah membangkitkan keinsafan diri kita semua bagi mendalami secara haq ilmu ini malah mampu mengamalkan secara istiqamah.
Dalam artikel berjudul Contemporary Muslims Are in Need of Spirituality (27 Feb 2012, onislam.net), Dr. Tariq Ramadan yang merupakan pensyarah pengajian Islam di Universiti Oxford seolah memberitahu bahawa perlunya satu gerakan yang berasaskan kepada sufisme atau tasawuf memandangkan sejarah gerakan Islam yang berjaya menghadapi para penjajah dengan jayanya suatu masa dahulu adalah berbasis kepada gerakan yang beraliran tersebut.
Meskipun artikel tersebut membincangkan faham tasawuf dan sufisme dari sudut aktivisme dan gerakannya dalam kebangkitan Islam, namun jauh daripada penjelasan yang diberikan, kita dapat memahami suatu hakikat yang mendasar mengenai masalah umat Islam kontemporari iaitu sikap kurang cakna dan tidak memberatkan aspek ilmu tasawuf dan amalannya dalam diri secara individu atau sebagai sebuah jemaah.
Selain daripada persepsi negatif yang tercipta akibat daripada pemahaman dan amalan yang tidak menepati kehendak al-Quran dan Sunnah oleh sesetengah pihak kepada tasawuf, aliran ini juga dikatakan sinonim dengan mereka yang selekeh, berpakaian compang-camping, mengasingkan diri daripada urusan dunia, sentiasa mengamalkan amalan-amalan khusus yang pelik dan lain-lain seumpamanya.
Hal ini dijelaskan oleh al-Mursyid Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (2009) dengan memetik kata-kata daripada Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani dalam karangannya, Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami:
“Tasawuf akan bertambah kuat kalau kita menggunakannya atau menjadikan orangnya sebagai contoh, sama ada dari sudut kepahlawanan atau kemuliaan bagi mengangkat martabat umat ini.”
Al-Mursyid Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kemudian menghuraikan maksud perkataan di atas dengan katanya:
“Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan khusussiyat (amalan-amalan sunat khusus) yang diamalkan oleh para syeikh tariqat sebagai amalan kepada orang ramai. Hal ini termasuklah keinginan bersendiri, tidak berkahwin dan beruzlah yakni mengasingkan diri. Semua keadaan ini bagi orang yang tertentu sahaja dan tidak boleh dijadikan penghayatan untuk orang awam.” (Rujuk: Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf. Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm: xi-xii)
Justeru, yang menjadi persoalan kepada kita apakah sebenarnya ilmu tasawuf dan apa pula hakikatnya? Apakah ia sememangnya ilmu yang khusus kepada golongan sebagaimana yang disebutkan di atas dan orang awam tidak boleh mempelajari selagi mana tidak masuk ke dalam golongan tariqat yang khusus dalam erti kata perlu menjadi orang sufi terlebih dahulu?
Banyak perkara yang perlu dirungkaikan secara adil dan haq mengenai tasawuf kerana menjadi kerugian besar kepada umat selagi mereka tidak faham apakah itu ilmu tasawuf.
Apakah sebenarnya ilmu tasawuf?
Selain daripada Ilmu Akidah dan Ilmu Syariat yang mendasari setiap daripada perbincangan ilmu Islam, ilmu tasawuf juga adalah antara ilmu yang terawal dan terhasil daripada refleksi keperibadian dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w. sepanjang hidup baginda. Ini boleh dirujuk daripada ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan mengenai bagaimana rupa akhlak dan peribadi Rasulullah s.a.w.
Hakikatnya, tidak ada seorang ulama pun pada zaman awal kebangkitan Islam tidak menggauli sehingga lumat ketiga-tiga asas ilmu ini; Akidah, Syariat dan Tasawuf yang melayakkan mereka dipanggil ulama. Cuma mungkin penampilan dan kedalaman ilmu dalam satu daripada ilmu tersebut menyebabkan mereka lebih dikenal sebagai sama ada ulama tauhid, ulama fiqh atau ulama tasawuf.
Justeru, pabila kita tertanya apakah sebenarnya ilmu tasawuf, banyak definisi yang diberikan oleh para ulama dan sarjana Islam, namun ada beberapa pendapat yang sangat tepat dalam konteks suasana zaman pada hari ini. Ada dua pendapat terbaik dalam mentakrifkan tasawuf dari segi istilah iaitu:
  1. Menurut Sahl bin Abdullah al-Tustari, “Sufi (merujuk mereka yang belajar dan beramal dengan ilmu tasawuf) adalah seorang yang bersih dariapda maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh kepada Allah taala namun tidak kepada manusia. Oleh yang demikian, di sisinya tiada beza antara emas dan lumpur.
  2. Menurut Dr. Abu al-Wafa’ al-Taftazani, “Tasawuf pada dasarnya adalah akhlak, dengan pengertian ini tasawuf adalah ruh Islam kerana seluruh rukun Islam diasaskan kepada akhlak.
Takrif di atas diperkemaskan lagi dengan penerangan daripada Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani yang kemudian menghuraikan mengenai hakikat tasawuf dengan katanya:
“Tasawuf pada hakikatnya ialah akhlak yang tinggi, ia mengangkat diri manusia kepada martabat yang paling tinggi dan sempurna dengan menghapuskan semua penghalangnya seperti syahwat, suka kepada kelazatan, bermalas-malasan pada perkara yang remeh-temeh serta memalingkan diri daripada sifat ungkit-mengungkit. Dengan cara ini, akan membawa mereka kepada agama yang mulia sepertimana yang diterangkan dahulu.” (Rujuk: Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf. Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm: 4)
Berdasarkan kepada takrif-takrif yang diberikan oleh para ulama di atas, tidak ada satupun yang menyatakan bahawa perlu kepada sesiapa yang ingin mendalami dan mempeelajari ilmu tasawuf perlu menjadi ahli sufi dalam erti kata menjadi ahli tariqat yang khusus dan perlu menjalankan amalan yang khusus pula.
Ini boleh disimpulkan bahawa, sesiapa sahaja boleh mempelajari ilmu tasawuf dan jalan-jalannya kerana ia adalah sebuah cabang agama diiktiraf oleh Islam. Cuma ia agak terpencil kerana kefahaman umat terhadap ilmu itu sendiri yang sempit dan salah.
Salah faham mengenai tasawuf
Prof. Dr. Hamka (2009) ada menyebut dengan jelas mengenai kesalahfahaman terhadap ilmu tasawuf. Beliau berkata:
“Bila disebut kamu sufi itu terutama di negeri kita, teringatlah kita kepada ajaran tariqat seperti Tariqat Nakhsyabandiyah, Teriqat Syaziliyah, Samaniyah, dan Tariqat Haji Paloppo di Tanah Bugis. Bila kita pelajari tariqat yang ada di sini, kelihatan mempunyai aturan sendiri-sendiri, maka pada asalnya tidaklah tasawuf itu mempunyai peraturan tertentu yang tidak boleh diubah-ubah. Yang sebetulnya, adalah tasawuf itu menempuh kemajuan juga. Ia adalah semacam falsafah yang telah timbul kemudian dari zaman Nabi, yang maju mundur menilik keadaan zaman dan negeri.
“Tasawuf adalah salah satu aliran falsafah Islam, yang maksudnya bermula ialah hendak zuhud daripada dunia yang fana. Tetapi lantaran banyaknya bercampur-gaul dengan negeri dan bangsa lain, banyak sedikitnya masuk jugalah pengaruh agama dari bangsa lain itu ke dalamnya.
“Kerana tasawuf bukan agama, melainkan suatu ikhtiar yang setengahnya diizinkan oleh agama dan setengahnya dengan tidak sedar, telah tergelincir daripada agama, atau terasa enaknya pengajaran agama lain dan terikut dengan tidak sengaja.” (Rujuk: Tasauf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Hlm: 2)
Kesalahfahaman ini disebabkan oleh sesetengah penganut tasawuf yang menggelarkan diri mereka sebagai ahli sufi yang membawa jenama tariqat masing-masing dan kemudian mencipta pula ibadat-ibadat khusus bagi amalan kumpulan mereka itu sedangkan ia hanyalah ibadat sunat yang diritualkan dan tiada dalam ajaran asal agama dalam beribadat.
Lama-kelamaan ilmu tasawuf menjadi semakin tidak digemari kerana persepsi yang sudah menebal dalam kalangan masyarakat, ditambah pula dengan sikap para ahli sufi yang lebih suka menyisihkan diri daripada bermuamalat dalam masyarakat kerana menurut faham mereka itu adalah cara yang terbaik bagi menuju kepada Allah.
Hakikat sebenar; Wajib Mempelajari Ilmu Tasawuf
Terang lagi bersuluh bahawa hakikat tasawuf sebenar datang seiring dengan wahyu sama ada al-Quran mahupun daripada sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kerana daripada kedua-dua sumber itulah adanya arahan dan contoh bagi segala kebaikan pada akhlak. Sama ada bagi perbuatan luaran menggunakan pancaindera yang maujud mahupun dalam hal urusan hati nurani.
Malah sebilangan para ulama menghukumkan wajib bagi semua umat Islam mempelajari ilmu tasawuf antara adalah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h. dengan katanya:
“Hukum mempejari tasawuf adalah fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau kekurangan kecuali para anbia.”
Imam Malik r.h. lama sebelum itu sudah mengungkapkan dengan jelas (namun ada pertikaian mengenai kesahihan kata-kata ini daripada Imam Malik):
“Sesiapa mempelajari tasawuf tanpa fikah, dia kafir zindik. Sesiapa mempelajari fikah tanpa tasawuf, dia fasiq. Sesiapa menghimpunkan kedua-duanya nescaya dia tahkik (benar).”
Syeikh al-Syazili pula berkata:
“Sesiapa tidak mempelajari ilmu ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedari.”
Ibnu Ajibah pula dengan panjang lebar mensyarahkan mengenai hukum mempelajari tasawuf merujuk kepada kenyataan Imam al-Ghazali dengan katanya:
“Orang yang mempelajari tasawuf tanpa fikah menjadi kafir zindiq kerana dia mengucap dengan cara terpaksa tanpa mengetahui hikmah dan hukum-hukumnya. Manakala orang yang belajar fikah sahaja tanpa tasawuf menjadi fasiq kerana dia beramal tanpa memberikan sepenuh tumpuan, hati dan perasaannya kepada Allah. Ini menyebabkan amalannya tidak ikhlas.
“Sementara tahqiq hanya diperolehi melalui fikah dan tasawuf sehingga seseorang itu dapat melaksanakan segala kewajipan berdasarkan ilmu dan melakukannya dengan sepenuh hati. Oleh itu, jelaslah bahawa tasawuf dan fikah itu dua ilmu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak sempurnalah fikah itu tanpa tasawuf, sebagaimana pincangnya tasawuf tanpa fikah.” (Rujuk: Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf. Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm: 7-8)
Status wajib ini tidak menjadi suatu bebanan kerana ilmu tasawuf sebenarnya sudah terangkum dalam ilmu-ilmu utama lain iaitu ilmu tauhid dan ilmu fikah itu sendiri melalui sumbernya, al-Quran dan hadis. Kesemua elemen tersebut sudah secara jelas menerangkan perlu dan wajib bagi seorang Muslim itu menjadi hamba Allah yang soleh, mengamalkan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar serta menjadi seorang manusia berakhlak mulia dengan berqudwahkan Nabi Muhammad s.a.w.
Apabila ia didisiplinkan menjadi sebuah sebuah aliran khusus, ini memudahkan lagi umat Islam nagi mempelajari dan mendalami ilmu tasawuf tambahan pula dengan lahirnya imam-imam yang hebat dan alim serta tawaduk dengan ilmu dan amalan tasawuf itu yang boleh dijadikan rujukan.
Masalah sebenar
Tidak dinafikan bahawa pada hari ini cendekiawan dan sarjana Islam semakin ramai dengan pengkhususan dalam bidang masing-masing sama ada bidang daripada cabang usuluddin mahupun syariat. Namun tidak kurang juga ramai di kalangan mereka lebih selesa memilih jalan bertelagah dengan cara yang agak kasar sama ada dari sudut percakapan mahupun tulisan dalam menghadapi khilaf dalam ilmu sesama mereka.
Kemuncaknya adalah media memainkan acara perbalahan mereka dan anak murid dan pengikut masing-masing juga tidak kurang yang menambah rencah perisa. Sehinggakan ia memberikan persepsi yang sangat negatif kepada institusi ilmuwan Islam di mata rakyat bukan Islam malah dunia luar.
Begitulah halnya bagi individu yang bergelar umarak yang di pundak mereka ada bebanan umat yang diamanahkan oleh Allah taala malah akan dipersoalkan sedetil-detilnya di akhirat kelak hinggakan perkara yang sekecil zarah juga.
Ulama dan Umarak yang tiada pada mereka kefahaman dan amalan yang bersangkutan dengan tasawuf akan miskin jiwa dan lompong hati serta mudah bagi syaitan merajai diri. Bayangkan para pemimpin dan ulama serta seluruh umat memahami sedalalamnya apakah itu ilmu tasawuf, paling tidak banyak masalah di dunia ini dapat diselesaikan.
Bak kata Prof. Dr. Hamka dalam meminjam kata-kata Junaid al-Baghdadi:
“Tasawuf pada mula-mula timbul adalah suci maksudnya, iaitu kehendak membaiki budi pekerti sebagaimana kata Junaid yang kita salinkan di atas tadi. Ketika ia mula-mula timbul semua orang boleh menjadi sufi, tidak perlu memakai pakaian yang tertentu, atau berkhalwat sekian harinya di dalam kamar, atau mengadu kening dengan kening guru.
“Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. hidup, semua orang menjadi ‘sufi’ iaitu sufi sepanjang pengertian oleh Junaid tadi. Baik Nabi dan sahabatnya yang berempat, atau yang beribu-ribu itu. Semuanya berakhlak tinggi, berbudi mulia, sanggup menderita lapar dan haus, dan jika mereka beroleh kekayaan, tidaklah kekayaan itu letak dalam hatinya, sehingga dia tidak berasa sedih bila harta itu habis. Apa lagi suasana ketika itu, pergaulan, letak negeri, semuanya menyebabkan hidup serba sederhana menjadi biasa. Mereka tidak perlu bernama sufi, faqih atau bernama raja sekalipun. Kerana tidak ada nama yang lebih mulia daripada nama sahabat Rasulullah.” (Rujuk: Tasauf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Hlm: 5)
Kesimpulan
Ilmu Tasawuf semangnya sudah wujud dalam ajaran Islam melalui sumbernya iaitu al-Quran dan sunnah, cuma ia dikhususkan kemudian mereka yang benar-benar ahli dan mahu mendalami cabang ilmu tersebut. Ia adalah suatu ilmu yang bersangkutan akhlak diri seorang Muslim yang mana mereka yang belajar dan mengamalkan ilmu tasawuf adalah mereka yang sentiasa mahu memastikan diri mereka terlepas daripada sebarang dosa dan maksiat kepada Allah.
Justeru, pada hari ini adalah wajar aliran ini dibincangkan secara akademik dan serius malah menjadi dasar dalam pembelajaran bagi menimbulkan jati diri dan akhlak Islam dalam setiap individu Islam. Kerana pembinaan tamadun dan peradaban adalah bergantung kepada akhlak dan ilmu umat Islam pada hari ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh umat Islam yang terdahulu.
*Artikel ini sudah diterbitkan oleh Majalah Milenia Muslim edisi May. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada majalah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...