Assalamualaikum,
Alhamdulillah....Segala puji bagi Allah SWT, aku masih dikurniakan nikmat-Nya....
MEMBACA artikel
tulisan cucu kepada mujadid dakwah abad ini, As-Syahid Imam Hassan
al-Banna iaitu Dr. Tariq Ramadan membangkit emosi dan perenungan yang
dalam sekali gus merembeskan keinsafan spiritual, intelektual dan
emosional.
Dalam kesedaran itu, artikel ini ditulis. Agar menjadi pencetus
kepada dimensi faham yang baru kepada mutiara Islam yang semakin
terpinggir itu malah membangkitkan keinsafan diri kita semua bagi
mendalami secara haq ilmu ini malah mampu mengamalkan secara istiqamah.
Dalam artikel berjudul Contemporary Muslims Are in Need of Spirituality
(27 Feb 2012, onislam.net), Dr. Tariq Ramadan yang merupakan pensyarah
pengajian Islam di Universiti Oxford seolah memberitahu bahawa perlunya
satu gerakan yang berasaskan kepada sufisme atau tasawuf memandangkan
sejarah gerakan Islam yang berjaya menghadapi para penjajah dengan
jayanya suatu masa dahulu adalah berbasis kepada gerakan yang beraliran
tersebut.
Meskipun artikel tersebut membincangkan faham tasawuf dan sufisme
dari sudut aktivisme dan gerakannya dalam kebangkitan Islam, namun jauh
daripada penjelasan yang diberikan, kita dapat memahami suatu hakikat
yang mendasar mengenai masalah umat Islam kontemporari iaitu sikap
kurang cakna dan tidak memberatkan aspek ilmu tasawuf dan amalannya
dalam diri secara individu atau sebagai sebuah jemaah.
Selain daripada persepsi negatif yang tercipta akibat daripada
pemahaman dan amalan yang tidak menepati kehendak al-Quran dan Sunnah
oleh sesetengah pihak kepada tasawuf, aliran ini juga dikatakan sinonim
dengan mereka yang selekeh, berpakaian compang-camping, mengasingkan
diri daripada urusan dunia, sentiasa mengamalkan amalan-amalan khusus
yang pelik dan lain-lain seumpamanya.
Hal ini dijelaskan oleh al-Mursyid Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
(2009) dengan memetik kata-kata daripada Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali
al-Qarani dalam karangannya, Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami:
“Tasawuf akan bertambah kuat kalau kita menggunakannya atau
menjadikan orangnya sebagai contoh, sama ada dari sudut kepahlawanan
atau kemuliaan bagi mengangkat martabat umat ini.”
Al-Mursyid Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kemudian menghuraikan maksud perkataan di atas dengan katanya:
“Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan khusussiyat
(amalan-amalan sunat khusus) yang diamalkan oleh para syeikh tariqat
sebagai amalan kepada orang ramai. Hal ini termasuklah keinginan
bersendiri, tidak berkahwin dan beruzlah yakni mengasingkan diri. Semua
keadaan ini bagi orang yang tertentu sahaja dan tidak boleh dijadikan
penghayatan untuk orang awam.” (Rujuk: Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf. Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm: xi-xii)
Justeru, yang menjadi persoalan kepada kita apakah sebenarnya ilmu
tasawuf dan apa pula hakikatnya? Apakah ia sememangnya ilmu yang khusus
kepada golongan sebagaimana yang disebutkan di atas dan orang awam tidak
boleh mempelajari selagi mana tidak masuk ke dalam golongan tariqat
yang khusus dalam erti kata perlu menjadi orang sufi terlebih dahulu?
Banyak perkara yang perlu dirungkaikan secara adil dan haq mengenai
tasawuf kerana menjadi kerugian besar kepada umat selagi mereka tidak
faham apakah itu ilmu tasawuf.
Apakah sebenarnya ilmu tasawuf?
Selain daripada Ilmu Akidah dan Ilmu Syariat yang mendasari setiap
daripada perbincangan ilmu Islam, ilmu tasawuf juga adalah antara ilmu
yang terawal dan terhasil daripada refleksi keperibadian dan akhlak Nabi
Muhammad s.a.w. sepanjang hidup baginda. Ini boleh dirujuk daripada
ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan mengenai bagaimana rupa akhlak
dan peribadi Rasulullah s.a.w.
Hakikatnya, tidak ada seorang ulama pun pada zaman awal kebangkitan
Islam tidak menggauli sehingga lumat ketiga-tiga asas ilmu ini; Akidah,
Syariat dan Tasawuf yang melayakkan mereka dipanggil ulama. Cuma mungkin
penampilan dan kedalaman ilmu dalam satu daripada ilmu tersebut
menyebabkan mereka lebih dikenal sebagai sama ada ulama tauhid, ulama
fiqh atau ulama tasawuf.
Justeru, pabila kita tertanya apakah sebenarnya ilmu tasawuf, banyak
definisi yang diberikan oleh para ulama dan sarjana Islam, namun ada
beberapa pendapat yang sangat tepat dalam konteks suasana zaman pada
hari ini. Ada dua pendapat terbaik dalam mentakrifkan tasawuf dari segi
istilah iaitu:
- Menurut Sahl bin Abdullah al-Tustari, “Sufi (merujuk mereka yang belajar dan beramal dengan ilmu tasawuf) adalah seorang yang bersih dariapda maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh kepada Allah taala namun tidak kepada manusia. Oleh yang demikian, di sisinya tiada beza antara emas dan lumpur.
- Menurut Dr. Abu al-Wafa’ al-Taftazani, “Tasawuf pada dasarnya adalah akhlak, dengan pengertian ini tasawuf adalah ruh Islam kerana seluruh rukun Islam diasaskan kepada akhlak.
Takrif di atas diperkemaskan lagi dengan penerangan daripada Syeikh
Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani yang kemudian menghuraikan mengenai
hakikat tasawuf dengan katanya:
“Tasawuf pada hakikatnya ialah akhlak yang tinggi, ia mengangkat diri
manusia kepada martabat yang paling tinggi dan sempurna dengan
menghapuskan semua penghalangnya seperti syahwat, suka kepada kelazatan,
bermalas-malasan pada perkara yang remeh-temeh serta memalingkan diri
daripada sifat ungkit-mengungkit. Dengan cara ini, akan membawa mereka
kepada agama yang mulia sepertimana yang diterangkan dahulu.” (Rujuk: Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf. Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm: 4)
Berdasarkan kepada takrif-takrif yang diberikan oleh para ulama di
atas, tidak ada satupun yang menyatakan bahawa perlu kepada sesiapa yang
ingin mendalami dan mempeelajari ilmu tasawuf perlu menjadi ahli sufi
dalam erti kata menjadi ahli tariqat yang khusus dan perlu menjalankan
amalan yang khusus pula.
Ini boleh disimpulkan bahawa, sesiapa sahaja boleh mempelajari ilmu
tasawuf dan jalan-jalannya kerana ia adalah sebuah cabang agama
diiktiraf oleh Islam. Cuma ia agak terpencil kerana kefahaman umat
terhadap ilmu itu sendiri yang sempit dan salah.
Salah faham mengenai tasawuf
Prof. Dr. Hamka (2009) ada menyebut dengan jelas mengenai kesalahfahaman terhadap ilmu tasawuf. Beliau berkata:
“Bila disebut kamu sufi itu terutama di negeri kita, teringatlah kita
kepada ajaran tariqat seperti Tariqat Nakhsyabandiyah, Teriqat
Syaziliyah, Samaniyah, dan Tariqat Haji Paloppo di Tanah Bugis. Bila
kita pelajari tariqat yang ada di sini, kelihatan mempunyai aturan
sendiri-sendiri, maka pada asalnya tidaklah tasawuf itu mempunyai
peraturan tertentu yang tidak boleh diubah-ubah. Yang sebetulnya, adalah
tasawuf itu menempuh kemajuan juga. Ia adalah semacam falsafah yang
telah timbul kemudian dari zaman Nabi, yang maju mundur menilik keadaan
zaman dan negeri.
“Tasawuf adalah salah satu aliran falsafah Islam, yang maksudnya
bermula ialah hendak zuhud daripada dunia yang fana. Tetapi lantaran
banyaknya bercampur-gaul dengan negeri dan bangsa lain, banyak
sedikitnya masuk jugalah pengaruh agama dari bangsa lain itu ke
dalamnya.
“Kerana tasawuf bukan agama, melainkan suatu ikhtiar yang setengahnya
diizinkan oleh agama dan setengahnya dengan tidak sedar, telah
tergelincir daripada agama, atau terasa enaknya pengajaran agama lain
dan terikut dengan tidak sengaja.” (Rujuk: Tasauf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Hlm: 2)
Kesalahfahaman ini disebabkan oleh sesetengah penganut tasawuf yang
menggelarkan diri mereka sebagai ahli sufi yang membawa jenama tariqat
masing-masing dan kemudian mencipta pula ibadat-ibadat khusus bagi
amalan kumpulan mereka itu sedangkan ia hanyalah ibadat sunat yang
diritualkan dan tiada dalam ajaran asal agama dalam beribadat.
Lama-kelamaan ilmu tasawuf menjadi semakin tidak digemari kerana
persepsi yang sudah menebal dalam kalangan masyarakat, ditambah pula
dengan sikap para ahli sufi yang lebih suka menyisihkan diri daripada
bermuamalat dalam masyarakat kerana menurut faham mereka itu adalah cara
yang terbaik bagi menuju kepada Allah.
Hakikat sebenar; Wajib Mempelajari Ilmu Tasawuf
Terang lagi bersuluh bahawa hakikat tasawuf sebenar datang seiring
dengan wahyu sama ada al-Quran mahupun daripada sunnah Nabi Muhammad
s.a.w. Kerana daripada kedua-dua sumber itulah adanya arahan dan contoh
bagi segala kebaikan pada akhlak. Sama ada bagi perbuatan luaran
menggunakan pancaindera yang maujud mahupun dalam hal urusan hati
nurani.
Malah sebilangan para ulama menghukumkan wajib bagi semua umat Islam mempelajari ilmu tasawuf antara adalah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h. dengan katanya:
“Hukum mempejari tasawuf adalah fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau kekurangan kecuali para anbia.”
Imam Malik r.h. lama sebelum itu sudah mengungkapkan dengan jelas
(namun ada pertikaian mengenai kesahihan kata-kata ini daripada Imam
Malik):
“Sesiapa mempelajari tasawuf tanpa fikah, dia kafir zindik. Sesiapa
mempelajari fikah tanpa tasawuf, dia fasiq. Sesiapa menghimpunkan
kedua-duanya nescaya dia tahkik (benar).”
Syeikh al-Syazili pula berkata:
“Sesiapa tidak mempelajari ilmu ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedari.”
Ibnu Ajibah pula dengan panjang lebar mensyarahkan mengenai hukum
mempelajari tasawuf merujuk kepada kenyataan Imam al-Ghazali dengan
katanya:
“Orang yang mempelajari tasawuf tanpa fikah menjadi kafir zindiq
kerana dia mengucap dengan cara terpaksa tanpa mengetahui hikmah dan
hukum-hukumnya. Manakala orang yang belajar fikah sahaja tanpa tasawuf
menjadi fasiq kerana dia beramal tanpa memberikan sepenuh tumpuan, hati
dan perasaannya kepada Allah. Ini menyebabkan amalannya tidak ikhlas.
“Sementara tahqiq hanya diperolehi melalui fikah dan tasawuf sehingga
seseorang itu dapat melaksanakan segala kewajipan berdasarkan ilmu dan
melakukannya dengan sepenuh hati. Oleh itu, jelaslah bahawa tasawuf dan
fikah itu dua ilmu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak
sempurnalah fikah itu tanpa tasawuf, sebagaimana pincangnya tasawuf
tanpa fikah.” (Rujuk: Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf. Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd. Hlm: 7-8)
Status wajib ini tidak menjadi suatu bebanan kerana ilmu tasawuf
sebenarnya sudah terangkum dalam ilmu-ilmu utama lain iaitu ilmu tauhid
dan ilmu fikah itu sendiri melalui sumbernya, al-Quran dan hadis.
Kesemua elemen tersebut sudah secara jelas menerangkan perlu dan wajib
bagi seorang Muslim itu menjadi hamba Allah yang soleh, mengamalkan yang
makruf dan meninggalkan yang mungkar serta menjadi seorang manusia
berakhlak mulia dengan berqudwahkan Nabi Muhammad s.a.w.
Apabila ia didisiplinkan menjadi sebuah sebuah aliran khusus, ini
memudahkan lagi umat Islam nagi mempelajari dan mendalami ilmu tasawuf
tambahan pula dengan lahirnya imam-imam yang hebat dan alim serta
tawaduk dengan ilmu dan amalan tasawuf itu yang boleh dijadikan rujukan.
Masalah sebenar
Tidak dinafikan bahawa pada hari ini cendekiawan dan sarjana Islam
semakin ramai dengan pengkhususan dalam bidang masing-masing sama ada
bidang daripada cabang usuluddin mahupun syariat. Namun tidak kurang
juga ramai di kalangan mereka lebih selesa memilih jalan bertelagah
dengan cara yang agak kasar sama ada dari sudut percakapan mahupun
tulisan dalam menghadapi khilaf dalam ilmu sesama mereka.
Kemuncaknya adalah media memainkan acara perbalahan mereka dan anak
murid dan pengikut masing-masing juga tidak kurang yang menambah rencah
perisa. Sehinggakan ia memberikan persepsi yang sangat negatif kepada
institusi ilmuwan Islam di mata rakyat bukan Islam malah dunia luar.
Begitulah halnya bagi individu yang bergelar umarak yang di pundak
mereka ada bebanan umat yang diamanahkan oleh Allah taala malah akan
dipersoalkan sedetil-detilnya di akhirat kelak hinggakan perkara yang
sekecil zarah juga.
Ulama dan Umarak yang tiada pada mereka kefahaman dan amalan yang
bersangkutan dengan tasawuf akan miskin jiwa dan lompong hati serta
mudah bagi syaitan merajai diri. Bayangkan para pemimpin dan ulama serta
seluruh umat memahami sedalalamnya apakah itu ilmu tasawuf, paling
tidak banyak masalah di dunia ini dapat diselesaikan.
Bak kata Prof. Dr. Hamka dalam meminjam kata-kata Junaid al-Baghdadi:
“Tasawuf pada mula-mula timbul adalah suci maksudnya, iaitu kehendak
membaiki budi pekerti sebagaimana kata Junaid yang kita salinkan di atas
tadi. Ketika ia mula-mula timbul semua orang boleh menjadi sufi, tidak
perlu memakai pakaian yang tertentu, atau berkhalwat sekian harinya di
dalam kamar, atau mengadu kening dengan kening guru.
“Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. hidup, semua orang menjadi ‘sufi’
iaitu sufi sepanjang pengertian oleh Junaid tadi. Baik Nabi dan
sahabatnya yang berempat, atau yang beribu-ribu itu. Semuanya berakhlak
tinggi, berbudi mulia, sanggup menderita lapar dan haus, dan jika mereka
beroleh kekayaan, tidaklah kekayaan itu letak dalam hatinya, sehingga
dia tidak berasa sedih bila harta itu habis. Apa lagi suasana ketika
itu, pergaulan, letak negeri, semuanya menyebabkan hidup serba sederhana
menjadi biasa. Mereka tidak perlu bernama sufi, faqih atau bernama raja
sekalipun. Kerana tidak ada nama yang lebih mulia daripada nama sahabat
Rasulullah.” (Rujuk: Tasauf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Hlm: 5)
Kesimpulan
Ilmu Tasawuf semangnya sudah wujud dalam ajaran Islam melalui
sumbernya iaitu al-Quran dan sunnah, cuma ia dikhususkan kemudian mereka
yang benar-benar ahli dan mahu mendalami cabang ilmu tersebut. Ia
adalah suatu ilmu yang bersangkutan akhlak diri seorang Muslim yang mana
mereka yang belajar dan mengamalkan ilmu tasawuf adalah mereka yang
sentiasa mahu memastikan diri mereka terlepas daripada sebarang dosa dan
maksiat kepada Allah.
Justeru, pada hari ini adalah wajar aliran ini dibincangkan secara
akademik dan serius malah menjadi dasar dalam pembelajaran bagi
menimbulkan jati diri dan akhlak Islam dalam setiap individu Islam.
Kerana pembinaan tamadun dan peradaban adalah bergantung kepada akhlak
dan ilmu umat Islam pada hari ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh umat
Islam yang terdahulu.
*Artikel ini sudah diterbitkan oleh Majalah Milenia Muslim edisi May. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada majalah tersebut.
No comments:
Post a Comment