Diriwayatkan dari Ibnu Abdil Barr di dalam Jami' Bayan al-Ilmi wa Fadlih sesungguhnya ulama' berkata;
"Belajarlah untuk berkata saya tidak tahu, sesungguhnya jika engkau berkata sedemikian, orang pasti mengajar engkau sehingga engkau tahu. Sebaliknya jika engkau sentiasa mengaku dengan berkata saya tahu, nescaya mereka akan bertanya sehingga engkau tidak tahu"

Monday, 12 December 2011

Brother 40-an Beri kucing Makan.

Salam...Syukur pada Allah SWT...12 hb Dis 2011 , 16 hb Muhaaram 1433....semasa aku tengah makan2 and minum, isteri aku jawab sms ku..tolong beli nasi ayam 2 bungkus....asyik duk bersembang jam dah menunjukkan 2.00 petang lebih...aku pun undurkan diri terus ke kedai biasa budak opis lepak. di bangunan MARA, aku.terus duduk & order.." kak, nasi ayam 2..bungkus yer" kata aku sambil terus menuju ke meja dan duduk...ketikaitu ader 2 meja di sebelah kanan. meja kedua dihujung sekali sedang makan nasi ayam...
Ketika menunggu, aderlah kelibat seseorang yang sudah berumur dalam 40 an kot, berjalan di sekitar 3 meja termasuk meja aku...brother tuh memakai baju kemeja dengn getah yang berbentuk Y yang disankut pada tali pinggang nyer..bergaya jugak lah..pakaiannya macam ejskutif. ler...aku melihat & memerhatikan makcik tuh yang hendak settle 2  bungkus nasi ayam aku...makcik tuh dah pegang 2 polystrin..tetiba meletak semula dan melayan brother yang umur 40 an tuh..dia ader cakap something nak ayam tuh dipotong -potong..Dalam hati aku berkata " dah laa aku nak cepat, dia pulak nak macam2" , hati kata " alaaa...xperlah lambat sikit..ader hikmahnya tuh...hati aku memujuk..
Brother tuh minta ayam dipotong dan amik satu peha ayam tuh...terus bayar..kemudian brother tuh pegang peha ayam terus bagi pada kucing yang berada tidak jauh dari meja kedua yang hujung sedang menjamu nasi ayam.....brother tuh bersemangat bagi pada kucing tuh, kemudian ambik gambar kucing makan peha ayam dengan kemera handset nyer..sambil bercakap - cakap dengan kucing dan duduk tepi tangga berhampiran kucing...aku pulak duk perhatiankan brother tuh dan kucing kat tangga...sesekali brother memandang ke arah aku dan sekeliling macam dengan melihat secara rawak..tetapi cara brother dan matanya macam tidak berpuas hati jer...mungkin dia memang jenis macam tuh...makcik kedai nasi ayam terus tergelak sambil menutup mulut apabila ayam yang dipotongnya terus diberi kucing...aku pulak order nasi ayam..dalam hati aku berbicara " aku beli nasi ayam, dia boleh beli ayam bagi kat kucing....cis..dah kaya sangat ke dia nih "..pelanggan meja kedua yang hujung tuh pulak..buat macam tak tahu sambil menikmati nasi ayam...semasa kucing tuh sedang menikmati ayam tuh, brother bersama - sama kawan terus bergerak dari situ...tetapi cara brother tuh macam pelik...nampak macam panasss...jer.. selepas makcik tuh siap bungkus, terus bayar RM10.00..kemudian hantar bungkusan nasi ayam tuh ke opis isteri aku & aliya..
sekian...

Allah & Malaikat Berselawat Ke Atas Nabi?

Dato' (Dr.Haron Din), setiap kali bersolat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar bilal mengingatkan makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Entah bacaan Al Quran atau hadis yang maksudnya, "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang
beriman, bersalawatlah kepadanya, serta ucapkanlah salam dengan selamat sejahtera sesempurna ke atasnya. Yang hendak saya ajukan kepada Dato', bagaimanakah caranya Allah berselawat ke atas Nabi? Adakah sama dengan kita membaca selawat ke atasnya. Terima kasih atas penjelasan Dato'.

Dato' Dr.Haron Din : Ayat yang dibaca adalah ayat Al-Quran, bukannya hadis. Ia adalah sebagaimana firman Allah (mafhumnya), "Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya" (Surah Al Ahzab:56)

Ia sama seperti yang anda ajukan dalam persoalan dan ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna selawat yang sebenarnya dalam tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lainnya. Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti salawat Para Malaikat. Dan salawat Para Malaikat ke atas Nabi S.A.W, tidak seperti salawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka. Semuanya berlainan walaupun istilah asal masing-masing adalah salawat.

Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam ungkapan selawat yang terkenal. Salawat Allah ke atasnya bermaksud Allah Taala sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya hingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari Baginda hidup dalam alam barzakh hinggalah ke hari kiamat. Inilah yang disebutkan dalam kitab Tafsir Al Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud, "Salawat daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredaanNya kepada Nabi Muhammad sepanjang masa".

Salawat daripada Para Malaikat bermaksud, "Para Malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad S.A.Wsepanjang zaman serta meredhainya. Ada pun salawat umat (kita) Muhammad kepada Baginda Nabi S.A.W adalah dengan menyebut salawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraannya kepada Baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa".

Dari tiga perbezaan jelas bahawa istilah salawat itu begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua, malaikat dan ketiga, umat manusia. Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah S.A.W itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat kepada Baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari akhirat. Malah Para Malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah agar dilimpahkan rahmat dan keampunanNya kepada Rasulullah S.A.W. Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf.

Rasulullah S.A.W bersabda (mafhumnya), "Sesiapa yang bersalawat ke atasku satu selawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 rahmat".

Oleh kerana itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa salawat ke atas Nabi Muhammad adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam hidup seharian, bersalawat adalah sunat muakkad.

Sa'id Ibnu Musayyid meriwayatkan daripada Umar Al Khattab, beliau berkata, "Doa hamba kepada Allah tidak diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu. Apabila disebut salawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang menulis salawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka malaikat-malaikat terus bersalawat ke atas Nabi dan selama penulisannya itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke atasnya". Demikian hebatnya salawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Wallahua'lam.


theufo : " Semoga orang - orang yang menyebarkan  & menegakkan hukum Allah akan terus memperolehi kesihatan yang baik & dipanjangkan umur serta terus dirahmati Allah SWT...Amin."

Ayuh sama - sama kita mmeperjuangkan menegakkan Islam dan mendoakannya Islam terus bersinar..

Friday, 9 December 2011

Fakta Menakjubkan Mengenai Wudhu

Prof Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiater dan sekaligus neurology dari Austria, menemui sesuatu yang menakjubkan terhadap wudhu. Ia mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan.
Bahawa pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia ternyata berada di sebelah dahi, tangan, dan kaki. 
Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini ia menemui hikmah di sebalik wudhu yang membasuh pusat-pusat saraf tersebut. Malah ia mencadangkan agar wudhu bukan hanya milik dan kebiasaan umat Islam, tetapi untuk umat manusia secara keseluruhan.
 Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, maka bererti orang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Pada akhirnya Leopold memeluk agama Islam dan mengganti nama menjadi Baron Omar Rolf Ehrenfels. 
Ulama Fekah juga menjelaskan hikmah wudhu sebagai bahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dalam air wudhu, seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh.
Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wudhu dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wudhu memang daerah yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Banyak pancaindera tersimpul di bagian muka.
Berapa orang yang jadi korban setiap hari dari mulut kita, berapa kali berbohong, memaki, dan membicarakan aib orang lain. Apa saja yang dimakan dan diminum. Apa saja yang baru diintip mata ini, apa yang didengar oleh telinga ini, dan apa saja yang baru dicium hidung ini? Ke mana sahaja kaki ini berjalan setiap hari?

Tegasnya, anggota badan yang dibasuh dalam wudhu ialah anggota yang paling berisiko untuk melakukan dosa.

Organ tubuh yang menjadi anggota wudhu disebutkan dalam ayat al-Maidah [5]:6, adalah wajah, tangan sehingga siku, dan kaki sehingga hujung kaki.
Dalam hadis riwayat Muslim juga dijelaskan bahawa, air wudhu mampu mengalirkan dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh mata, hidung, telinga, tangan, dan kakinya, sehingga yang berkaitan bersih dari dosa.
Kalangan ulama melarang mengeringkan air wudhu dengan kain kerana dalam redaksi hadis itu dikatakan bahawa proses pembersihan itu sampai titisan terakhir dari air wudhu itu (ma'a akhir qathr al-ma').
Wudhu dalam Islam masuk di dalam Bab al-Thaharah (penyucian rohani), seperti halnya tayammum, syarth, dan mandi junub. Tidak disebutkan Bab al-Nadhafah (pembersihan secara fisik). Rasulullah SAW selalu berusaha mempertahankan keabsahan wudhunya.
Yang paling penting dari wudhu ialah kekuatan simboliknya, yakni memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang ‘bersih' dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca mushaf Al-Quran. 
Wudhu sendiri akan menghalang diri untuk menghindari apa yang secara spiritual merosak citra wudhu. Dosa dan kemaksiatan berkontradiksi dengan wudhu. 

theufo : Subhannallah...setiap suruhan & larangan ada hikmahnya...

Wednesday, 7 December 2011

Adakah sama di antara Saka & Qareen?

Soalan:
Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato’ sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah antara saka dengan qareen? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku?
SAMIHAH MANSOR
Batu Gajah

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.
Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.
Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.
Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.
Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.
Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.
Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.
Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.
Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), “Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui.”
Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.
Firman Allah (mafhumnya), “Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku.” (Surah Qaf, ayat 23).
Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, “Yang menyertai dia, Qarennya berkata pula,”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”
Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.
Dalam hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), “Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan.” (Riwayat Muslim).
Hadis daripada Ai’shah r.ha berkata,”Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai’shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai’shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”
Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa.
Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.
Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat.
Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua’lam
 
 
 theufo : teringat aku pada kisah ibu menceritakan tentang sejenis saka tetapi org klate cakap ' haalo'..nenek sebelah mak aku penah melihat harimau di dalam tanahnya.kebun tuan pemilik saka/haalo tuh...eee..ngeriii...benda nih kebiasannya digunakan org - org tua zaman dahulu kala untuk menjaga kebun / tanahnya...itu yang tengok kebun cantik bersih jer...saka / jin nih kalu dijaga bela diberi mkn dan sebagainya menyusahkan apabila nak mati nanti...sama - sama kita mengawal bisikan si qareen nih..jgn bagi muka kat dia (qareen)..

Memperingati Diri Mengenai Kubur

Salam mesra kepada semua, sedikit tazkirah ringkas dalam blog saya ini untuk memperingati kepada diri saya dan semua akan azab kubur yang amat pedih dan dahsyat. Suatu azab yang cukup hebat kepada hambanya yang melakukan maksiat dan dosa. Azab kubur merupakan intro sebelum menempuh azab neraka kepada orang yang menderhakai Allah dan RasulNya.
(gambar kubur sekadar hiasan & ingatan pada kubur)
Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepada-Nya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepada-Nya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepada-Nya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.


Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.

Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran ayat : 16)


Ulasan theufo : aku pon dalam list menunggu ke sana (alam kubur ) tetapi tiada siapa yang tahu....takutnya rasa hendak menghadapinya...amalan pon belum cukup rasanya... " Ya Allah, berilah petunjuk serta hidayah-Mu pada kami...jangan lah Engkau putuskan petunjuk  & hidayah pada kami..Amin "

Monday, 5 December 2011

Solat Sunat Rawatib

♥ Allah akan membina untuk hamba-Nya sebuah rumah di dalam syurga. ♥

Allahu Allah, janji yang sangat indah & pasti tertunai kerana ia datang daripada Allah Yang Maha Pemurah. Apakah amalan untuk ganjaran sehebat ini???

---> SOLAT SUNAT RAWATIB <---

✔- 2 rakaat sebelum Subuh.
✔- 4 rakaat sebelum Zuhur.
✔- 2 rakaat selepas Zuhur.
✔- 2 rakaat selepas Maghrib.
✔- 2 rakaat selepas Isya'.
Jumlahnya: 12 rakaat.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: "Seorang hamba Muslim yang mendirikan solat setiap hari sebanyak 12 rakaat secara sukarela bukan solat yang difardhukan ke atasnya, maka Allah akan membina untuknya sebuah rumah di dalam syurga." ~ Riwayat Imam Muslim rahimahullah.

>>> Masih belum terlambat untuk anda mengamalkannya. Ingat! Janji ini bukan daripada kami tetapi daripada Allah Yang Maha Kaya.

Amalkan & sebarkan ツ.

theufo : Semoga saya dan saudara diberi kekuatan bagi melaksanakan solat sunat rawatib.aku pon nak start melakukan nya IsyaAllah...

sumber info diperolehi disini...

Friday, 2 December 2011

Bagaimana mengurus keluhan menjadi syukur & ikhlas?

(gambar sekadar hiasan)
Makhluk yang namanya manusia pasti pernah mengeluh. Sedar atau tidak, mengeluh itu sendiri adalah sifat asli manusia. Hanya sahaja, frekuensi dan kualiti keluhannya yang membezakan antara satu personaliti dengan personaliti lainnya. Biasanya perbezaan ini berkait dengan taraf kefahaman dan cara pandang seseorang tentang sesuatu masalah yang sedang dihadapinya. Sabar, ikhlas dan seberapa besar keinginan untuk mengubah sebuah keadaan menjadi lebih baik, biasanya akan meminima-kan isyarat-isyarat keluhan. Sebaliknya, sikap pesimis dan buruk sangka terhadap kejadian yang sedang menimpa secara automatik akan menimbulkan keluhan-keluhan yang kemudiannya beralih menjadi penyesalan.

Secara sejatinya mengeluh adalah rasa tidak puas, tidak ikhlas menerima sebuah ketentuan yang terjadi, baik dari segi fizikal mahupun spritual. Ketika kita sakit kita berkeluh kesah, atau menyalahkan orang lain. Atau ketika ditimpa musibah kita mempersoalkan rahmat Allah, manakala kepada majikan jika gaji kecil kita mempersoalkan reputasi syarikatnya. Jika anak-anak nakal dan bermasalah ada juga yang menyalahkan isteri sebagai tidak pandai mendidik dan sebagainya. Kita juga kecewa dan kesal apabila h/p tidak terjawab atau berbalas.

Itulah sebahagian contoh kecil yang merupakan sebuah manifestasi dari perasaan tidak puas yang akhirnya membuahkan keluhan. Fenomena di negara yang kita cintai ini juga melalui denai ketidak-puasan hati di mana-mana akibat penyalahgunaan kekuasaan, korupsi-kolusi dan nepotisme dan banyak lagi kriminal politik yang semuanya menunjukkan pada satu hal : ketidakpuasan! Sebuah potret masyarakat yang diwarnai dengan berbagai keluhan.

Allah Taala menyukai hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan dan bersabar ketika ditimpa sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan. Masalahnya apabila seseorang itu hanyut dalam keluhan, panca-inderanya pun tidak mampu memainkan fungsinya untuk melihat, mendengar, mencium dan merasakan nikmat yang bertebaran diberikan oleh Allah Taala. Hatinya serta merta buta dari mengingat dan bersyukur atas nikmat Allah yang tiada batas.

Pada zaman Umar Al Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi BaituLlah yang maksudnya, "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit".

Doa beliau didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Saidina Umar hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda tersebut dan bertanya, "Mengapa engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tidak ada permohonan lain yang engkau mohonkan kepada Allah?".

Pemuda itu menjawab, "Wahai Ya Amiral Mukminin! Aku membaca doa itu kerana aku takut dengan penjelasan Allah dalam surah Al A’raf ayat 10, Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami hasilkan bagi kamu di muka bumi (sumber) penghidupan. Tetapi amat SEDIKIT kamu yang bersyukur. Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit itu, lantaran terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah".

Semoga kita menjadi hamba-hamba yang dikategorikan sedikit oleh Allah dalam ayat tersebut. Dengan selalu menjaga ikhlas dan sabar terhadap segala kejadian atau ketentuan yang diberikan oleh Allah. Dan berprasangka positif bahawa apa yang telah terjadi adalah yang terbaik menurut Allah, sehingga hanya rasa syukur sahaja yang terlintas dibenak, terucap dibibir dan terlihat dari tindakan kerana sesungguhnya jika kita bersyukur maka Allah akan menambah nikmat-Nya dan jika kita ingkar, sesunggunya azab Allah sangat pedih (Rujuk Surah Ibrahim ayat 7).

Mengeluh Hanya Pada Allah Taala

Ketika sebuah kejadian tidak diingini menimpa seseorang, menyakitkan hati, membuat kepala berdenyut-denyut dan menjadikan seseorang itu merasa diberi ujian yang sangat berat dan tidak sanggup mengatasinya sendiri, lalu benarkah tindakannya jika ia mengeluhkan masalahnya kepada orang lain?

Rasulullah S.A.W pernah mengalami sebuah kondisi yang jauh dari yang beliau inginkan. Para kaum musyrikin mengabaikan seruannya. Dalam kondisi tertekan tersebut Rasulullah S.A.W mengeluh hanya kepada Allah Taala. seperti yang terkandung dalam Surah Al Furqon ayat 30, "Dan berkatalah Rasul (Muhammad), 'Ya Tuhanku! Kaumku ini sesungguhnya telah meninggalkan jauh Al Quran'. Begitu pula dengan Nabi Yaaqub dan Nabi Ayub, di mana Nabi Yaaqub berkata; Sesungguhnya aku mengeluh keadaanku dan kesedihanku hanya kepada Allah". (Surah Yusuf:86).

Manakala Nabi Ayyub A.S yang disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya, ketika Nabi Ayyub berkata, "Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau (Allah) adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang". (Surah Al Anbiya’:83).

Sebaiknya, mengeluhlah hanya kepada Allah kerana sesungguhnya semua kejadian sudah menjadi sebuah ketentuanNya dan hanya Dialah sebaik-baik pemberi solusi. Tetapi dalam kondisi-kondisi di mana seseorang mengeluh tentang masalahnya kepada orang yang diyakini amanah untuk mendapatkan penyelesaian, maka dalam hal ini sebahagian ulama memperbolehkan. Sebagaimana kata Ibnu Qayyim , dalam ‘Uddatu Ash Shabirin, "Menceritakan kepada orang lain tentang perihal keadaan, dengan maksud meminta bantuan petunjuknya atau pertolongan agar kesulitannya hilang, maka itu tidak merosak sikap sabar; Seperti orang sakit yang memberitahu kepada doktor tentang keluhannya, orang teraniaya yang bercerita kepada orang yang diharapkan dapat membelanya, dan orang yang ditimpa musibah yang menceritakan musibahnya kepada orang yang diharapkannya dapat membantunya".
sumber info : laman tarbawi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...