Soalan:
Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk
kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada
keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai
permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan
istilah qareen yang pernah Dato’ sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah
antara saka dengan qareen? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila
ianya berlaku?
SAMIHAH MANSOR
Batu Gajah
Batu Gajah
Jawapan dari Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Saka
adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau
bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual
yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga
lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan
menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai
gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai
gangguan makhluk halus.
Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk
yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek
seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan
kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal
anak cucu mereka.
Hasil daripada itu maka berlaku kawalan,
sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah
yang diistilahkan sebagai saka.
Saya tidak dapat menentukan apa
sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia
dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada
mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau
dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah
sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba
berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi
separuh gila atau separuh sedar.
Saya tidak nampak hal ini sebagai
saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk
kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah
walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan
makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.
Banyak ayat-ayat
al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada
syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan
sebagainya.
Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk
halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu
manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya
memberikan kesan negatif.
Kita mesti menjauhi mereka, benda yang
dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia.
Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan
saka ini terus menerus menganggu manusia.
Adapun Qareen adalah
istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa
ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan
lain-lain.
Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya),
“Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka
memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan
tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin
dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui.”
Istilah
teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau
kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis
ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.
Firman Allah (mafhumnya), “Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku.” (Surah Qaf, ayat 23).
Dan
Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, “Yang menyertai dia, Qarennya berkata
pula,”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang
berada dalam kesesatan yang jauh.”
Ini merujuk kepada perkataan
Qareen. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana
manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan
sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang
mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan
kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.
Dalam hadis
daripada Ibnu Mas’ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda
(maksudnya), “Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen
(syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga
mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma
Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia
telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya
membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan.” (Riwayat Muslim).
Hadis
daripada Ai’shah r.ha berkata,”Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada
bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu
urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya,
apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui
perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai
Ai’shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti
saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi
menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai
Ai’shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada
syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada
syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada
syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku
Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”
Hadis-hadis
sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa
qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah
s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa.
Oleh
yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan
bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai
dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk
melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk
mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.
Adapun
orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara
yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang
menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus
yang jahat.
Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan
ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka,
tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana
dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya
tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan
manusia kepada kejahatan. Wallahua’lam
theufo : teringat aku pada kisah ibu menceritakan tentang sejenis saka tetapi org klate cakap ' haalo'..nenek sebelah mak aku penah melihat harimau di dalam tanahnya.kebun tuan pemilik saka/haalo tuh...eee..ngeriii...benda nih kebiasannya digunakan org - org tua zaman dahulu kala untuk menjaga kebun / tanahnya...itu yang tengok kebun cantik bersih jer...saka / jin nih kalu dijaga bela diberi mkn dan sebagainya menyusahkan apabila nak mati nanti...sama - sama kita mengawal bisikan si qareen nih..jgn bagi muka kat dia (qareen)..
No comments:
Post a Comment