Ai shi teru ialah perkataan Jepun yang bermaksud, "Aku cinta padamu...". Dalam bahasa Inggeris ia disebut, "I love you", dalam bahasa Arab, "Uhibbuka" (untuk lelaki) dan "Uhibbuki" (untuk wanita), manakala di dalam bahasa Mandarin ia disebut, "Wo ai ni". Dan Perancis pula disebut, "Je t'aime". Walaupun perkataan ini
berlainan sebutannya, tetapi hakikatnya ia tetap mempunyai satu maksud iaitu aku cinta padamu. Persoalannya cinta kepada siapa?
Perkataan 'Cinta' adalah perkataan yang
begitu popular di mana sahaja kita berada, kerana ia bukan perkataan
yang terkandung dalam kamus moden tetapi telah lama wujud sejak
dijadikannya Adam dan Hawa. Begitupun cinta dalam makna yang sebenar
bukanlah nafsu, tetapi kepercayaan. Orang yang percaya kepada sesuatu
perkara dengan tindakan dan bukti tanpa memerlukan apa-apa syarat,
itulah cinta. Oleh itu , apabila kita menyatakan cinta kita kepada
Allah, maka kita akan dapat mengesan tanda-tandanya.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut dalam kitabnya, 'Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatil Mushtaqin' bahawa beberapa tanda jatuh cinta yang dialami oleh kebanyakan manusia adalah;
"Banyak mengingati orang yang dicintai, membicarakan tentangnya dan sentiasa menyebut namanya..."
"Tunduk dan mengikut segala perintah orang yang dicintai dan mendahulukan segala keperluannya..."
"Memerhati kata-kata orang yang dicintai dan mendengarkannya..."
"Mencintai segala perkara yang dicintai oleh sang kekasih..."
Sekiranya diteliti, perkara yang disebut
oleh Ibnu Qayyim itu memang benar. Apabila kita jatuh cinta, pasti kita
membuat perkara-perkara tersebut. Dan sekiranya ia tidak ditangani
dengan bijak, natijahnya akan mengundang perkara yang negatif dan
mencelakakan manusia. Seorang isteri jika suami berpaling kasih pada
yang lain, maka hari-hari yang berlalu terasa mendung, sesekali
memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung
berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta.
Tidak mahu diduakan oleh sesiapa.
Sebenarnya tidak banyak perbezaan yang
berlaku daripada segi prinsip apabila kita jatuh cinta kepada Allah
kerana matlamat asalnya juga cinta. Ringkasnya, apabila kita jatuh cinta
kepada Allah, kita pasti mengingatiNya, tunduk dan patuh pada semua
perintahNya, memerhati dan menuruti segala peraturanNya dan mencintai
segala perkara yang dicintai oleh Allah. Itu juga disebut antara
tanda-tanda cinta kepada Allah.
Bukti Cinta Kepada Allah
Perkataan cinta adalah
perkataan yang menuntut kita melaksanakan perkara yang kita ucapkan.
Adakah cukup sekadar kita melafaskan perkataan cinta tanpa menunjukkan
bukti kita benar-benar memaksudkannya? Pastinya tidak. Apabila kita
melafazkan cinta, maka ia perlu dilaksanakan dengan perbuatan.
Sekiranya cinta kepada Allah, maka ia perlu disertai dengan bukti. Lalu bagaimana bukti itu dapat diperlihatkan?
"Sentiasa mengingati Allah berbanding mengingati manusia..."
Pasangan yang jatuh cinta
sentiasa mengingati pasangannya. Hatinya tenteram dan bertaman bunga
apabila terfikir mengenai sang kekasih. Begitu juga cinta kepada Allah.
Manusia yang jatuh cinta dengan Allah sentiasa mengingati dan merindui
Allah. Di dalam Surah Ar Ra'du ayat 28, Allah menjamin kepada manusia
yang mengingatinya, "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang...".
Ayat ini memberikan kefahaman
kepada kita bahawa bila hati kita ingat dan terhubung dengan Allah, hati
kita akan menjad tenang. Namun, dalam ayat lain, Allah menceritakan
bahawa, "Orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka..." (Al Anfaal:2).
Pada kedua-dua ayat itu berlaku apa yang
dikatakan sebagai "zikrullah" - mengingati Allah. Walaupun kedua-duanya
berhasil zikrullah, satu ayat sebut hati menjadi tenang dan satu ayat
lagi sebut hati menjadi gementar. Bagaimana boleh menjadi begitu? Apakah
bila kita dengan Allah, adakala hati menjadi tenang dan adakalanya hati
menjadi gementar?Sebenarnya bukanlah ia bermaksud hati orang beriman
itu berubah-ubah dengan Tuhan. Hati mereka sebenarnya mempunyai dua
keadaan pada masa yang sama, iaitu berkeadaan tenang dan juga berkeadaan
gementar.
Yang dikatakan tenang itu ialah tenang
dengan dunia, yakni hati mereka itu tidak tergugat dengan ujian
kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan cercaan manusia. Malah semua itu
menjadi hiburan apabila hati sudah kuat berhubung dengan Allah Taala
serta memahami maksud ujian tersebut.
Yang dikatakan gementar pula, ialah bila
hati berhubung dengan Tuhan, timbul rasa cemas dengan dosa yang
dilakukan kepadaNya. Rasa gementar itu juga boleh berhasil dari rasa
kagum dengan kehebatan Allah Taala, setelah menyaksikan kehebatanNya
mencipta alam dan cakerawala, lalu apabila ayat dibacakan kepadanya
tiba-tiba hati manusia menjadi gementar. Hal ini pasti berlaku kepada
orang beriman yang hatinya itu sentiasa mencintai Allah. Ketakutan bagi
orang bercinta ialah putus cinta atau cinta tidak berbalas dan tidak
dipedulikan.
Firman Allah Taala (bermaksud), "Sesungguhnya
orang-orang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, dan
orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, dan orang-orang
yang tidak mempersekutukan Tuhan mereka (dengan sesuatu apapun), Dan
orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka
gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka". (Al Mukminun:57-60).
Dari Aisyah R.A.h berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini (Al Mukminun:57-60). Apakah mereka orang-orang yang minum arak dan mencuri?
Baginda S.A.W menjawab, "Tidak
wahai Humairah, tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa,
melaksanakan solat, bersedeqah, dan pada masa yang sama hati merasa
takut amalan-amalan itu tidak diterima Allah. Mereka ini adalah
orang-orang yang bersegera dalam amal kebaikan".
Maka jaminan Allah kepada hati
hambaNya yang mengingatiNya, rasa tenang dan rasa gementar. Dan
realitinya orang bercinta akan menurut segala kemahuan sang kekasih
walaupun mereka serba-serbi kekurangan pada masa itu. Ini bermakna,
bukti seseorang itu mencintai Allah ialah kita mengikuti segala
perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
"Orang yang beriman itu kuat kecintaannya kepada Allah..." (Al Baqarah:165)
Maka, tanda orang bercinta kepada Allah
ialah iman yang benar di dalam hati, iaitu mempercayaiNya dengan
sesungguhnya tanpa lelah dan rungutan, tanpa ingkar dan pendustaan.
Itulah cinta, cinta itu adalah percaya, bukannya nafsu.
Hakikatnya, mencintai Allah itu lebih
mudah daripada mencintai manusia. Cinta manusia bersyarat, tetapi cinta
Allah selamanya. Allah tidak mahukan harta kita kerana Allah pemberi
rezeki. Bahkan kita yang dituntut supaya meminta sesuatu daripada Allah
melalui doa. Oleh itu, tadahlah tangan kalian dan mengucapkan ai shi
teru kepada Allah. Semoga dengan itu kita tergolong di kalangan hamba
yang dicintai olehNya. Seorang pujangga memberitahu :
"Jika kamu berikan hatimu yang kudus
kepada manusia, dia boleh melukai dan menghancurkannya. Tetapi
sekiranya kamu berikan hatimu yang hancur luluh itu kepada Allah, Dia
pasti akan memperbaikinya..."
theufO : Alhandulillah, Segala pujian bagi Allah SWT..... aku tertarik, menarik dengan kata pujangga tuh..akan aku post dalam fB nanti...
No comments:
Post a Comment